Ahad, 12 Oktober 2008

PENGHAYATAN SASTERA STPM Penghantar Kritikan Sastera

Di negara kita, kritikan sastera sudah diterima sebagai satu sains atau disiplin ilmu. Kritikan sastera yang dihantar dalam bentuk tulisan merupakan usaha mencari dan menentukan nilai karya sastera secara jujur. Tugasan ini dilaksanakan dengan kaedah yang bersistematik, sama ada secara selejang terbang mahupun secara serius.

KRITIKAN sastera merangkumi tiga aktiviti yang berikut:
Berkaitan dengan tulisan kritikan deskriptif yang menilai multigenre hasil karya sastera yang diterbitkan.
Berhubungan dengan tulisan kritikan legislatif yang menekankan pelbagai peraturan, kaedah,dan langgam penulisan yang baik, betul,dan bermutu.
Segala bentuk tulisan kritikan teori dalam usaha memperoleh sesuatu teori sastera.

Bidang kritikan sastera berkembang cukup perlahan, masih remaja, akar tradisi tidak mantap, dan tidak banyak penulis yang memasukinya secara bertanggungjawab. Pernyataan ini menunjukkan bahawa penulisan kreatif terkedepan berbanding dengan penulisan kritikan sastera.

Walaupun begitu kritikan sastera amat diperlukan, demi kesempurnaan hasil karya sastera. Kegiatan kritikan sastera yang perlahan itu bagaimana pun tetap menyumbang ke arah kemantapan dan kematangan walaupun bermusim.

Kritikan sastera merupakan cabang dan disiplin sastera yang mewujudkan analisis, pentafsiran dan penilaian terhadap sesuatu wacana sastera. Dengan kata lain, kritikan sastera merupakan usaha murni untuk mempertimbangkan dan menilai karya sastera secara jujur dan ceria.Oleh itu kritikan harus dilaksanakan dengan menerapkan kaedah yang tertentu dan bersistematik.

Menyedari hakikat dan fungsi kritikan sastera menganalisis, mentafsir dan menilai sesuatu karya, maka ketiga-tiga fungsi yang disenaraikan di atas wajar mempertimbangkan baik-buruk, kuat-lemah, dan keistimewaan-kekurangan sesuatu karya. Pertimbangan yang saksama harus ditunjangi dengan alasan yang kukuh dan munasabah

Secara dasarnya, kritikan sastera dilaksanakan secara internal dan eksternal. Kajian secara internal bermakna menganalisis teks dengan meneliti hal strukturnya, diksi, makna cerita, dan kemungkinan ketaksaan atau ambiguiti. Sementara itu kritikan secara eksternal menekankan konteks atau dominasi kepada faktor di luar teks. Justeru itu, kritikan dihubungkaitkan dengan pengarangnya (pendidikan, profesion, ideologi, kepercayaan beragama, budaya, dan aliran), era tertentu, dan pengaruh persekitaran.

Mengkritik karya sastera tidak mudah. Karya sastera bersifat subjektif, sedang pengkritik bersifat objektif. Untuk menyatakan sesuatu karya sastera itu baik atau buruk, haruslah dimanfaatkan kriteria yang objektif dan memiliki ketrampilan tertentu untuk mengungkap kembali pengalaman estetik karya yang ditelaah.

Kritikan sastera adalah disiplin ilmu. Sebagai disiplin ilmu, aktiviti kritikan sastera ada matlamat. Yang ketara, antara pencipta (pengarang) karya sastera dengan pengkritik (dikenali juga sebagai kritikus atau kritikawan) sastera, wujud situasi yang tidak seimbang, malah semacam wujud jurang. Bagaimanapun, kritikan sastera memiliki tujuan yang pelbagai dalam usaha memajukan kesusasteraan.

Kritikan sastera membantu khalayak pembaca memahami sesuatu karya sastera, di samping mentafsirkan dan menilai karya. Penilaian tentang berjaya atau tidak karya sastera harus dibuktikan secara objektif -- di mana dan mengapa karya itu kuat atau gagal. Dengan hujah yang tepat dan konkrit, maka pembaca akan maklum kebaikan atau kekurangan karya itu.

Sasaran kritikan sastera bukan sahaja pembaca tertentu malah pengarang (lebih-lebih lagi pengarang baru) dan masyarakat/peminat sastera. Dengan adanya kritikan sastera, maka terhindar jurang pemisah antara teks sastera dengan pembaca, atau antara penikmat sastera dengan pengarang. Kesemua ini berfungsi mengelakkan kerancuan dan memungkinkan karya sastera lebih mudah dimasyarakatkan. Jelaslah, betapa kritikan sastera amat diperlukan; mempunyai signifikan bagi menentukan kelangsungan jalur perkembangan sastera


Definisi Kritikan

Istilah kritikan yang sering kita pergunakan dalam bahasa Melayu berasal dari bahasa orang-orang Yunani kuno, krites yang bermaksud "hakim", dan istilah ini berasal daripada kata kerja krinein yang bererti "menghakimi" yang merupakan pangkal daripada istilah kriterion yang bermaksud dasar penghakiman. Hanya kemudian muncul kata atau istilah kritikos yang bererti hakim karya sastera (Andre Hardjana 1981: 2).

Dalam Glosari Istilah Kesusasteraan (1988: 163) terdapat penjelasan yang menyatakan bahawa "kritik" merupakan esei atau artikel yang menyorot secara kritis sesebuah hasil seni, biasanya sastera, dengan tujuan menentukan sifat yang dimilikinya dan menuntut mutunya menurut suatu ukuran tertentu yang telah ditetapkan atau sering digunakan. Kritik jauh lebih serius, adil, dan bijaksana daripada ulasan. Sementara kritikan pula merupakan cabang pengajian yang berhubungan dengan hal-hal mendefinisi, mengelaskan, menghurai, dan menilai karya kesusasteraan (Ibid. 1988: 164).

Rahman Shaari “… tulisan yang berupa reaksi terhadap karya sastera. Reaksi tersebut mungkin sepintas lalu sahaja dan mungkin juga amat serius dan penuh kesungguhan”. Manakala pengertian bagi kritikan sastera melayu di Malaysia difahami sebagai; “tulisan-tulisan tentang sastera yang mengandungi penilaian, sama ada menggunakan pendekatan tertentu atau tidak.”

Ali Ahmad “ menilai, memuji, menunjukkan kesalahan, membanding dan menikmati” Manakala Hasim Awang “ sesuatu wacana budaya-mengolah pandangan, pendapat, pemikiran atau gagasan yang timbul daripada usaha-usaha menilai, mempertimbang dan menganalisis suatu penghasilan budaya berupa karya sastera

Lutfi Abas “Kritikan sastera (sesuai dengan namanya kritikan) adalah kajian tentang kelemahan pemakaian teori keindahan itu dalam sesuatu karya sastera yang tertentu. ……kritikan sastera sebagai karya seni mengkritik kelemahan yang ada pada kepelbagaian, keseimangan dan kesatuan unsur-unsur sesuatu karya.

Kritikan adalah satu disiplin ilmu yang membincangkan soal penghayatan, penganalisisan serta penilaian terhadap sesebuah karya kreatif. Dikatakan ilmu saintifik krn menggunakan metodologi sewaktu membuat kritikan. Penghayatan dlm kritikan bermaksud apresiasi, tanggapan, pemahaman, pengamatan, dan pemikiran yang terjelma daripada reaksi pembaca. Penganalisisan bermaksud membincang, menghurai, mendalami serta membedah aspek penghayatan (apresiasi) dengan mengemukakan contoh, bukti serta hujah yang logik dan konkrit. Penilaian dibuat hasil dari apresiasi, penganalisisan, pertimbanagn serta penghakiman yang rasional, tetap dan meyakinkan.

Daripada pernyataan di atas, dengan mengangkat anologi itu dapatlah dikatakan bahawa kritikan sastera adalah penelitian yang kritis, penilaian yang jitu, dan pertimbangan yang adil tentang buruk baiknya nilai suatu karya sastera, dengan memanfaatkan pendekatan tertentu ataupun tidak, dan memberi manfaat kepada khalayak pembaca, peneliti lainnya, dan karyawan itu sendiri.

Tiada ulasan: